Hari Asyura
ASYURA
~~~~~~~~
Di dalam bulan Muharram terdapat satu hari yang dinamakan Hari `Asyûrâ, iaitu hari kesepuluh daripada bulan Muharram (10 haribulan Muharram). Ia dinamakan `Asyûrâ' kerana ia jatuh pada hari yang kesepuluh.
Tarikh 10 Muharram dianggap sebagai hari besar dan hari istimewa bagi umat Islam. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang terdapat dijadikan sebagai contoh teladan, yang mencerminkan kemenangan gemilang bagi pejuang-pejuang yang gigih dan tabah untuk menegakkan kebenaran dan keadilan, di samping peristiwa yang dapat menggerakkan hati umat Islam agar mensyukuri nikmat Allah yang tiada terhingga banyaknya.
Dalam kitab I`ânah At-Thâlibîn menyebutkan bahawa peristiwa yang terjadi pada hari itu ialah :
Nabi Adam `Alaihissalam bertaubat kepada Allah dan taubatnya diterima sehingga dia bersih daripada dosa dan kesalahan.
Nabi Idris `Alaihissalam diangkat oleh Allah ke tempat yang tinggi.
Nabi Nuh `Alaihissalam diselamatkan Allah keluar dari perahunya, sesudah bumi tenggalam selama enam bulan.
Nabi Ibrahim `Alaihissalam diselamatkan Allah daripada api Raja Namrud.
Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa `Alaihissalam.
Nabi Yusuf `Alaihissalam dibebaskan dari penjara Mesir, setelah meringkuk selama beberapa tahun akibat fitnah Siti Zulaikha.
Pandangan Nabi Ya'kub Alaihissalam yang kabur dipulihkan Allah kembali sehingga dia dapat melihat dengan jelas.
Nabi Ayub `Alaihissalam disembuhkan Allah daripada sejenis penyakit kulit yang dideritainya
Nabi Yunus `Alaihissalam selamat keluar dari perut ikan Nun yang besar setelah berada di dalamnya selama empat puluh hari empat puluh malam.
Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa Alaihissalam dan pengikut-pengikutnya daripada dikejar oleh Fir`aun.
Kesalahan Nabi Daud `Alaihissalam diampuni Allah.
Nabi Sulaiman `Alaihissalam dikurniakan Allah sebuah kerajaan yang besar.
Hari pertama Allah menciptakan alam.
Hari pertama Allah menurunkan rahmat.
Hari pertama Allah menurunkan hujan dari langit
Allah menjadikan `Arasy.
Allah menjadikan Lauh Mahfuzh.
Allah menjadikan Qalam.
Allah menjadikan Malaikat Jibril
Nabi Isa `Alaihissalam diangkat ke langit.
Di antara keutamaan hari `Asyûrâ itu, ada disebutkan di dalam sebuah hadis yang maksudnya :
"Daripada Ibnu `Uyainah daripada Abdullah bin Abu Yazid daripada Ibnu Abbas Radhiallahu `anhuma dia telah berkata. "Aku tidak pernah melihat Nabi Sallallahu `alaihi wasallam mempunyai maksud untuk mengerjakan puasa pada suatu hari yang Baginda Sallallahu `alaihi wasallam lebih mengutamakannnya daripada hari-hari yang lain, kecuali hari ini iaitu hari `Asyûrâ dan berpuasa dalam bulan ini yakni bulan Ramadhan." (Hadis riwayat Bukhari)
Imam Al-Yafi` dan An-Nasyiri dalam Idhahnya menyatakan, satu di antara keajaiban hari `Asyûrâ itu ialah binatang liar di hutan berpuasa pada hari itu.
Fatah bin Syukhruf menyatakan, setiap hari dia memberi semut makan sedikit roti. Bila hari `Asyûrâ semut itu tidak mahu memakannya (puasa)
Amalan utama yang sunat kita lakukan pada hari `Asyûrâ itu ialah puasa. Ini berdasarkan kepada hadis-hadis Nabi Sallallahu `alaihi wasallam yang menganjurkan melakukannya, di antaranya :
Maksudnya: "Daripada Abdullah bin Sa`id bin Jubair daripada ayahnya daripada Ibnu `Abbas Radhiallahu `anhuma katanya: "Nabi Sallallahu`alaihi wasallam datang di Madinah lalu melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari `Asyûrâ. Baginda Sallallahu`alaihi wasallam kemudian bertanya: "Apakah ini?" Mereka menjawab: "Hari ini adalah hari baik. Inilah hari yang pada saat dahulu Allah telah menyelamatkan Bani Isra'il (umat Yahudi) daripada musuh mereka. Oleh sebab itu Nabi Musa`alaihissalam berpuasa pada hari ini. Nabi Sallallahu `alaihi wasallam bersabda: "Aku adalah lebih berhak untuk menghormati Nabi Musa Alaihissalam daripada anda sekalian. Selanjutnya Baginda Sallallahu `alaihi wasallam berpuasa pada hari Âsyûrâ itu dan menyuruh para sahabatnya agar mereka juga berpuasa pada hari tersebut." (Hadis riwayat Bukhari)
Begitu juga sebuah hadis yang juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari :
Maksudnya: "Daripada Humaid bin Abdul Rahman bahawasanya dia mendengar Mu`awiyah bin Abu Sufyan Radhiallahu `anhuma pada hari Âsyûrâ' iaitu pada tahun haji berkata di atas mimbar: "Hai penduduk Madinah, manakah alim ulama kamu sekalian? Aku mendengar Rasulullah Sallallahu `alaihi wasallam bersabda: "Ini adalah hari Âsyûrâ dan tidaklah diwajibkan mengerjakan puasa kepada kamu sekalian. Namun demikian aku berpuasa pada hari ini. Maka barangsiapa yang menghendaki, bolehlah dia berpuasa dan barangsiapa yang menghendaki untuk tidak berpuasa, maka boleh sajalah dia berbuka." (Hadis riwayat Bukhari)
Melalui hadis ini, dapat ambil kesimpulan bahawa hukum berpuasa pada hari Âsyûrâ sunat mu`akkadah.
Adapun kelebihan ataupun fadhilatnya disebutkan di dalam sebuah hadis :
Maksudnya: "Daripada Abu Qatadah bahawasanya Nabi Sallallahu `alaihi wasallam bersabda: "Puasa hari Âsyûrâ bahawasanya aku kira atas Allah akan menebus dosa tahun yang dahulunya." (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)
Berpuasa pada hari Âsyûrâ sebaiknya didahului dengan berpuasa pada hari Tasu`â' (hari kesembilan daripada bulan Muharram) agar tidak menyerupai dengan amalan orang Yahui yang hanya berpuasa pada hari `Asyûrâ sahaja.
Maksudnya: "Berpuasalah kamu pada hari kesembilan dan kesepuluh Muharram dan jangan meniru cara orang-orang Yahudi." (Hadis riwayat Baihaqi)
Di dalam riwayat yang lain, ada dianjurkan supaya kita berpuasa sehari sebelum dan sehari selepas hari `Asyûrâ . Rasulullah Sallallahu `alaihi wasallam bersabda :
Maksudnya: "Berpuasalah kamu pada hari Âsyûrâ dan buatlah kelainan (jangan disamakan) dengan orang Yahudi. Dan berpuasalah kamu sehari sebelumnya dan sehari sesudahnya." (Hadis riwayat Ahmad)
Amalan khas yang sunat pada hari `Asyûrâ itu juga ialah menggembirakan keluarga atau saudara mara terdekat. Menggembirakan keluarga yang dimaksudkan boleh dilakukan dengan melebihkan perbelanjaan pada hari tersebut atau menyediakan makanan dan minuman yang lebih sedap daripada biasanya. Ini berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu `alaihi wasallam:
Maksudnya: "Barangsiapa yang melapangkan (menggembirakan) keluarganya pada hari Âsyûrâ , maka Allah akan melapangkan rezekinya sepanjang tahun itu". (Hadis riwayat Thabarani dan Baihaqi)
Selain daripada itu, kita juga digalakkan untuk berdoa kepada Allah dalam keadaan kita berpuasa pada hari Âsyûrâ itu kerana orang yang sedang berpuasa termasuk orang yang diperkenankan doanya.
Amalan Bid`ah Pada Hari `Asyûrâ
Di antara amalan-amalan bid`ah yang dikaitkan dengan hari `Asyûrâ itu ialah :
1. Mandi-manda dengan niat mandi hari `Asyûrâ .
2. Memakai pakaian baru
3. Mencelak mata .
4. Memakai inai
5. Bersembahyang malam `Asyûrâ
Adapun hadis yang menyuruh bercelak mata pada hari itu, menurut Al-Hakim adalah hadis munkar, sedangkan Ibnu Hajar berpendapat hadis itu maudhû.
Al-`Allamah Al-Ajhuri lebih jauh menyatakan bahawa dia menanyakan masalah bercelak mata itu, serta memasak beberapa jenis biji-bijian, berpakaian baru dan memperlihatkan kegembiraan pada hari itu kepada imam-imam ahli-hadis dan ahli-ahli hukum fiqah. Menurut Al-Ajhuri tiada dijumpai satupun hadis shahih yang menganjurkan hal itu. Tiada dilakukan para sahabat dan tidak digemari oleh imam-imam kaum muslimin.
Begitu juga (kata Al-Ajhuri), tiada dijumpai apa yang dikatakan orang bahawa "Barangsiapa bercelak mata pada hari itu, nescaya tiada akan sakit mata dalam tahun itu." Begitu juga anggapan kalangan yang mengatakan bahawa: "Barangsiapa yang mandi pada hari itu, tidak akan jatuh sakit dalam tahun itu".
Mudah-mudahan dengan berpuasa `Asyûrâ dan mengamalkan atau melakukan apa yang disunatkan pada hari itu serta mengambil iktibar peristiwa-peristiwa yang berlaku akan menambah keimanan dan taqwa yang dapat merubah corak hidup ke arah yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment